|
Melaka 7 Dis. - Jika syarikat
automotif terkemuka dunia, Honda, berbangga
dengan Asimo iaitu robot ciptaannya yang boleh
berinteraksi dengan manusia, Kolej Universiti
Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM) juga boleh
bermegah dengan robotnya - Aini.
Aini adalah robot maya yang
dicipta oleh sekumpulan pensyarah dan pelajar
Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi KUTKM
sejak dua tahun lalu dan mula diperkenalkan
secara rasmi pada awal bulan Oktober lalu.
Berbeza dengan Asimo yang
secara fizikalnya boleh dilihat dan mampu
bersalam tangan dengan manusia, Aini pula yang
merupakan singkatan daripada Artificial
Intelligent Neural-Network Identity tidak boleh
dilihat secara fizikal kerana ia `hidup' dalam
sistem komputer atau secara maya.
Dekan Fakulti Teknologi
Maklumat dan Komunikasi KUTKM, Profesor Dr.
Mohammad Ishak Desa berkata, Aini merupakan
gabungan teknologi kepintaran buatan (artificial
intelligent), internet dan multimedia.
Menurutnya, Aini merupakan
robot maya yang bertindak sebagai ejen kepada
pengguna komputer untuk membantu mereka
mendapatkan maklumat-maklumat yang mereka cari
dalam internet.
"Aini juga mempunyai kelebihan
iaitu ia boleh bercakap dan berinteraksi dengan
pelanggan dengan menggunakan bahasa tabie,''
katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Malah katanya, Aini boleh
menjadi pembantu untuk mencari maklumat dengan
lebih tepat dan cepat serta membacakan maklumat
berkenaan kepada pengguna komputer.
Katanya, Aini dibangunkan oleh
Profesor Madya Goh Ong Sing iaitu pensyarah di
Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi dan
juga dibantu oleh tenaga pengajar lain serta
pelajar-pelajar di fakulti berkenaan.
Menurutnya, penciptaan robot
maya itu boleh dikatakan mengambil konsep
daripada filem fiksyen futuristik seperti Star
Trek apabila krew pesawat boleh berinteraksi
dengan pesawat berkenaan.
"Daripada filem seperti itulah
kita berusaha untuk membangunkan teknologi yang
membolehkan manusia berinteraksi dengan mesin,''
katanya.
Sementara itu, Ong Sing pula
memberitahu, oleh kerana Aini merupakan robot
maya adalah lebih mudah ia digambarkan sebagai
seorang wanita tetapi ia sebenarnya boleh diubah
menjadi lelaki atau personaliti lain begitu juga
dengan suaranya.
Mengenai kos katanya, sukar
untuk ditentukan secara tepat kerana Aini
sentiasa dibangunkan dari semasa ke semasa
berdasarkan pada sistem yang ada.
"Cabaran yang kita hadapi
ialah tenaga kerja dan juga sentiasa berfikir
untuk membangunkan robot maya ini,''
katanya.
Menurutnya, projek itu boleh
dikomersialkan dan pihaknya kini bekerjasama
dengan pelbagai pihak termasuk KRU Berhad untuk
mempopularkan Erra Fazira yang boleh ditampilkan
dalam bentuk robot maya dan peminat boleh
berinteraksi dengannya menerusi telefon
bimbit.
"Melalui teknologi itu, watak
Erra Fazira berkenaan akan dilengkapkan dengan
segala maklumat berkaitan dan para peminat boleh
berinteraksi dan robot Erra juga akan menjawab
sebarang soalan yang ditanya,'' ujarnya.
Ditanya sama ada teknologi
robot maya itu boleh mengatasi keupayaan
manusia, beliau menjelaskan, walaupun robot
berkenaan boleh mempelajari sendiri maklumat
yang dibekalkan ia tetap mempunyai batasan.
Namun katanya, oleh kerana
terlalu banyak berinteraksi dengan orang ramai
menerusi komputer dan memproses pelbagai
maklumat, Aini kadangkala boleh bertindak
sendiri berdasarkan maklumat yang telah
diterimanya selama ini.
'Ini pernah berlaku semasa
kami mengadakan demonstrasi apabila seorang
pengguna memberitahu usianya sudah 50 tahun dan
Aini membalas dengan menyatakan ia tidak
berminat dengan mereka yang sudah berusia,''
ujarnya.
Beliau memberitahu, teknologi
itu akan terus dibangunkan mengikut peredaran
masa dan kini pihaknya berharap dapat
menggunakan teknologi yang sedang dibangunkan
oleh MIMOS Bhd. iaitu manusia boleh bercakap
dengan robot secara bersahaja.
Katanya, selama ini manusia
berhubung dengan robot melalui teks yang
ditaipkan ke komputer dan robot mengeluarkan
suara untuk membalas atau pun robot dilengkapkan
dengan program tertentu untuk menjawab suara
yang didengarnya.
Kejayaan
KUTKM mencipta Aini mendapat pengiktirafan
apabila ia dimasukkan ke Malaysia Book of
Records baru-baru ini sebagai Program Robot
Interaktif Pertama Malaysia.
|